Johor kekalkan agihan BKJ secara bersemuka, kata Onn Hafiz

Sumber: Harian Metro
Johor kekalkan agihan BKJ secara bersemuka, kata Onn Hafiz
Gambar: Harian Metro

ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor akan meneruskan pengagihan Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersemuka bagi merapatkan hubungan pemimpin dengan rakyat, kata Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Beliau berkata, kaedah itu membolehkan pemimpin turun padang, mendengar keluhan dan bersama masyarakat, bukan hanya menemui mereka ketika musim pilihan raya.

Onn Hafiz turut mempersoalkan perubahan pendirian segelintir Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Johor pengimbang yang sebelum ini pernah menyertai penyampaian bantuan berkenaan, namun mempertikaikan kaedah itu selepas Dewan Undangan Negeri (DUN) dibubarkan.

“Saya hairan, sebelum ini rakan-rakan Yang Berhormat pernah bersama-sama menyampaikan Bantuan Kasih Johor ini kepada rakyat. Namun, berubah keadaan selepas DUN dibubarkan.

“Apa cerita ini? Sebelum ini okey saja, takkanlah dulu boleh, sekarang tak boleh?” katanya ketika sesi penggulungan perbahasan Belanjawan Johor 2027 di DUN Johor, di sini, hari ini.

Sebagai contoh, beliau merujuk pelaksanaan Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang diumumkan Perdana Menteri baru-baru ini. Ibu bapa turut diwajibkan hadir secara fizikal ke sekolah untuk mengambil wang tunai.

Beliau berkata, kerajaan negeri bersyukur kaedah penyampaian secara bersemuka yang digunakan bagi BKJ terbukti berkesan dan turut diamalkan di peringkat Persekutuan.

“Masa Pakatan Harapan (PH) memegang mandat, mereka mengutuk dan mempertikaikan kaedah penyerahan BKJ. Tapi syukur alhamdulillah, hari ini Perdana Menteri sendiri nampak keberkesanan cara pelaksanaan BKJ.

“Inilah ruang supaya pemimpin-pemimpin dapat berjumpa dengan masyarakat, bukan berjumpa masa nak pilihan raya saja,” katanya.

Onn Hafiz berkata, kerajaan negeri terbuka menerima maklum balas dan akan menambah baik proses pengagihan bagi memastikan majlis penyerahan berjalan lancar. Antara langkahnya ialah menyusun sistem giliran dan masa penyampaian dengan lebih teratur bagi mengurangkan kesesakan, selain memastikan tiada unsur paksaan.

Bagi penerima yang uzur, terlantar atau mempunyai kekangan pergerakan, wakil sah boleh hadir bagi pihak mereka untuk menerima bantuan itu, katanya.