Klinik estetik tidak berdaftar didenda RM30,000

KOTA KINABALU: Katalina Aesthetic & Wellness Sdn Bhd didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana mengendalikan klinik estetik tanpa pendaftaran. Hakim Marlina Ibrahim mengenakan denda itu selepas pengarah syarikat mengaku bersalah bagi pihak syarikat. Denda berkenaan sudah dibayar.
Syarikat itu didakwa menubuhkan klinik perubatan swasta dikenali sebagai Katalina Aesthetic & Wellness tanpa mendaftarkannya mengikut Seksyen 27 Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586). Kesalahan itu dilakukan di Aeropod, berhampiran Jalan Kepayan, pada 11.40 pagi, 24 Oktober 2019.
Pertuduhan mengikut Seksyen 4(1) akta itu, yang boleh dihukum di bawah Seksyen 5(1)(b), memperuntukkan denda maksimum RM500,000 jika sabit kesalahan. Undang-undang berkenaan melarang mana-mana pihak menubuhkan, menyelenggara, mengendalikan atau menyediakan klinik perubatan atau pergigian swasta tanpa pendaftaran.
Mahkamah dimaklumkan bahawa sepasukan anggota daripada Seksyen Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan Sabah, menyerbu premis itu pada 24 Oktober 2019. Dua pekerja di kaunter gagal mengemukakan sijil pendaftaran klinik atau lesen kemudahan dan perkhidmatan jagaan kesihatan swasta. Seorang pelanggan turut berada di premis ketika pemeriksaan dijalankan.
Beberapa dokumen, ubat-ubatan dan mesin dirampas dalam serbuan itu. Siasatan mendapati premis berkenaan diuruskan seorang doktor yang juga pengarah syarikat. Majlis Perubatan Malaysia mengesahkan doktor itu berdaftar sepenuhnya dan mempunyai sijil amalan bagi 2019.
Bagaimanapun, surat bertarikh 20 November 2019 daripada Bahagian Amalan Perubatan, Kementerian Kesihatan mengesahkan premis itu tidak mempunyai sijil pendaftaran, sijil kelulusan atau lesen di bawah Akta 586 ketika serbuan dilakukan. Pendakwaan dikendalikan pegawai pendakwa Nozaizeli Abu Samah, manakala syarikat diwakili peguam Mohamad Syazwan Shah Mohamad Ali.