99.5 peratus sekolah KPM mempunyai liputan 4G
KUALA LUMPUR - Sebanyak 10,207 daripada 10,259 sekolah di bawah Kementerian Pendidikan (KPM) di seluruh negara mempunyai liputan rangkaian 4G, bersamaan kadar 99.5 peratus, kata Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Dewan Rakyat pada Khamis.
Beliau berkata kerajaan komited memastikan sekolah, khususnya di luar bandar dan pedalaman, mendapat capaian Internet yang stabil serta berkualiti bagi menyokong agenda pendidikan digital negara. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), katanya, akan terus memantau dan memperkukuh infrastruktur komunikasi, termasuk memberi perhatian kepada sekolah yang masih belum mendapat liputan.
Fahmi berkata pelaksanaan JENDELA (Jalinan Digital Negara) Kumpulan 1 akan bermula secara berperingkat pada November ini. Ia melibatkan pembangunan 1,000 tapak di seluruh negara, termasuk 12 tapak di Johor. Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa (PH-Sekijang) mengenai dasar kementerian untuk memastikan sekolah, khususnya di luar bandar, menikmati capaian Internet yang memenuhi Kualiti Perkhidmatan Minimum (MSQoS).
Menurutnya, JENDELA Fasa 2 tidak dikhususkan kepada sekolah, sebaliknya memberi keutamaan kepada kawasan berpenduduk yang masih belum mempunyai liputan komunikasi. Bagi projek Point of Presence (PoP), Fasa 1 melibatkan 677 lokasi dan telah siap sepenuhnya, termasuk 630 lokasi berhampiran sekolah.
Fasa 2 projek PoP pula mencapai 99.07 peratus setakat November ini, dengan 2,985 daripada 3,013 lokasi berhampiran sekolah telah siap. Baki lokasi dijangka disiapkan sepenuhnya pada 31 Disember ini. Projek bernilai RM4.6 bilion itu menyediakan infrastruktur gentian optik kepada sekolah, premis kerajaan, kediaman dan komuniti setempat dalam radius 2.5 hingga tiga kilometer, dengan kelajuan sehingga 1Gbps.
Fahmi berkata Kementerian Komunikasi bertanggungjawab menyediakan infrastruktur komunikasi, manakala urusan perolehan dan langganan Internet di sekolah terletak di bawah tanggungjawab KPM. Katanya, infrastruktur boleh disediakan hingga ke pagar sekolah, tetapi pemilihan Internet di dalam kawasan sekolah bergantung kepada pihak sekolah dan KPM. Melalui PoP, katanya, perkhidmatan 100Mbps ditawarkan pada harga serendah RM49 sebulan.
Menjawab soalan tambahan Zaliha berhubung gangguan capaian apabila beberapa kelas menggunakan Internet serentak, Fahmi berkata jawatankuasa bersama KPM dan MCMC telah ditubuhkan untuk menangani isu itu. Beliau berkata ada sekolah yang hanya disediakan satu atau dua titik capaian sedangkan keperluannya mungkin lebih banyak. Sekolah yang memerlukan bantuan boleh memaklumkan perkara itu kepada pihak berkaitan, katanya.
Sementara itu, menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PN-Setiu) mengenai tindakan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan projek JENDELA Fasa 1, Fahmi berkata penalti dikenakan berdasarkan jumlah tapak yang tidak disiapkan. Beliau memberi contoh sebuah syarikat di Sabah yang dikenakan denda melebihi RM200 juta, hampir menyamai nilai kontrak yang diterimanya.
Bagi JENDELA Fasa 2, MCMC memperketat syarat penggunaan subkontraktor dengan mewajibkan syarikat yang menerima kontrak memaklumkan dan mendapatkan kebenaran terlebih dahulu. Fahmi berkata kerja tidak dibenarkan berjalan sekiranya syarikat tidak mematuhi syarat itu. Kumpulan pertama Fasa 2 melibatkan 1,000 menara dan lokasi di seluruh negara, manakala kumpulan kedua yang dijangka bermula tahun depan akan memberi tumpuan lebih besar kepada Sabah dan Sarawak.