JKDM rampas 86 basikal elektrik tanpa permit bernilai RM268,279

PETALING JAYA: Sebanyak 86 basikal elektrik yang disyaki diimport tanpa permit dan kelulusan SIRIM Berhad dirampas dalam serbuan di sembilan premis sekitar Lembah Klang, dari 27 hingga 30 Oktober lalu.
Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kuala Lumpur, Wan Norizan Wan Daud, berkata operasi selama empat hari itu dijalankan bersama SIRIM menerusi Ops Piawai E-Mobiliti bagi membanteras penjualan basikal elektrik yang tidak mematuhi syarat pengimportan.
Beliau berkata, basikal elektrik berkenaan disyaki dileraikan sebelum dibawa masuk ke negara ini bagi mengelak dikesan pihak berkuasa. Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM268,279, termasuk duti dan cukai berjumlah RM56,701.
Sebanyak sembilan kertas siasatan dibuka, manakala sembilan wakil syarikat dipanggil untuk membantu siasatan. Siasatan awal mendapati basikal elektrik itu disyaki dibawa masuk tanpa mematuhi syarat di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.
Wan Norizan berkata, kaedah pengimportan basikal elektrik itu masih disiasat, termasuk kemungkinan ia dijual menerusi platform dalam talian.
Wakil SIRIM pula menjelaskan pengujian basikal elektrik dilaksanakan berdasarkan piawaian MS 2514 bagi memastikan ciri keselamatan kenderaan dipatuhi dan keselamatan pengguna terjamin.
Basikal elektrik berkenaan tertakluk kepada larangan import di bawah Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 dan memerlukan permit import daripada Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI). Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967.