Naib Canselor UPSI selitkan lebih 50 judul lagu dalam ucapan

Sumber: Harian Metro
Naib Canselor UPSI selitkan lebih 50 judul lagu dalam ucapan
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Naib Canselor Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Prof Datuk Dr Md Amin Md Taff, mencuri perhatian pada Istiadat Konvokesyen Ke-28 apabila menyelitkan lebih 50 judul lagu dalam ucapannya.

Antara lagu yang disebut ialah Fantasi Bulan Madu nyanyian Search, Mahligai Syahdu oleh Hattan, Sejati daripada Wings, Istana Menanti dendangan Rahim Maarof, Tiada Lagi Hidungmu oleh Lefthanded dan Semangat Yang Hilang nyanyian XPDC.

Dalam ucapannya, beliau turut berkongsi pencapaian UPSI, termasuk pengiktirafan terhadap empat ahli akademiknya dalam kelompok World Top 2% Scientist 2026. Beliau juga menyebut penganjuran Global Educator Award 2026 yang disertai lebih 472 pendidik dari 80 negara, selain dua jurnal UPSI meraih Anugerah Utama di Scopus Research Star Award 2026.

Menurutnya, UPSI Adventure Park turut diiktiraf sebagai taman cabaran pertama di Malaysia yang memperoleh pensijilan kualiti MS ISO bagi Sistem Pengurusan Keselamatan Pelancongan Pengembaraan.

Dr Md Amin menggunakan judul lagu untuk menyampaikan pesanan kepada graduan mengenai usaha mengejar kejayaan dan pengorbanan keluarga. “Bait-bait Istana Menanti mengingatkan kita akan lelah mengejar ini kejayaan. Namun jangan sesekali kalian lupa akan lelah isteri kesayangan yang tidak terlihatkan,” katanya.

Beliau turut menyentuh usaha pasangan mengurus anak dan perbelanjaan keluarga, serta mengharapkan pasangan dapat melangkah seiringan dengan kejayaan. Seramai 805 graduan UPSI yang terdiri daripada graduan Sarjana bakal menerima skrol pada majlis berkenaan.