69,000 PKS mikro sukarela guna e-invois walaupun dikecualikan

KUALA LUMPUR: Kira-kira 69,000 perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dengan jualan tahunan antara RM1 juta hingga RM3 juta melaksanakan e-invois secara sukarela, walaupun dikecualikan daripada pelaksanaan mandatori, kata Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata lebih 270,000 pembayar cukai telah menggunakan sistem itu sejak pelaksanaannya secara berperingkat bermula pada 2024, dengan sejumlah 2.23 bilion e-invois dijana. Daripada jumlah berkenaan, 172,000 pembayar cukai menerima pakai sistem itu secara sukarela meskipun tidak termasuk dalam mana-mana fasa pelaksanaan wajib.
Liew berkata ambang jualan tahunan bagi Fasa 4 dinaikkan daripada RM1 juta kepada RM3 juta, seperti diumumkan perdana menteri pada 30 Ogos 2026. Susulan perubahan itu, perniagaan dengan jualan tahunan kurang daripada RM3 juta dikecualikan daripada pelaksanaan e-invois.
“Namun begitu, 69,000 PMKS dengan jualan tahunan antara RM1 juta dan RM3 juta melaksanakan e-invois secara sukarela,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Dr Wee Ka Siong (BN-Ayer Hitam).
Wee bertanya mengenai jumlah perniagaan yang telah melaksanakan e-invois sebelum ambang pengecualian dinaikkan, selain sama ada pampasan akan diberikan bagi kos pematuhan yang ditanggung.
Menurut Liew, 5,500 pembayar cukai melaksanakan e-invois di bawah Fasa 1, diikuti 14,600 dalam Fasa 2, 51,900 dalam Fasa 3 dan 26,000 dalam Fasa 4.
Fasa 1 bermula pada 1 Ogos 2024 bagi perniagaan dengan jualan tahunan RM100 juta dan ke atas. Fasa 2 menyusul pada 1 Januari 2025, melibatkan perniagaan dengan jualan tahunan antara RM25 juta hingga RM100 juta.
Fasa 3 bermula pada 1 Julai 2025 bagi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM5 juta hingga RM25 juta, manakala Fasa 4 meliputi perniagaan dengan jualan tahunan antara RM3 juta hingga RM5 juta.
Menjawab soalan tambahan Wee mengenai sebab ramai PMKS terus menerima pakai sistem itu selepas tidak lagi diwajibkan, Liew berkata e-invois boleh membantu perniagaan menyimpan rekod kewangan yang lebih menyeluruh dan berpotensi memudahkan akses kepada pembiayaan.
Beliau berkata rekod yang lebih lengkap boleh membantu syarikat apabila memohon pinjaman atau bentuk pembiayaan lain daripada bank dan institusi kewangan.
Liew turut berkata keputusan kerajaan menaikkan ambang pengecualian mencerminkan kesediaannya mendengar kebimbangan perniagaan. Perniagaan yang melaksanakan e-invois secara sukarela juga masih layak menerima insentif cukai yang disediakan kerajaan.
Menjawab soalan tambahan Datuk Awang Solahuddin Hashim (PN-Pendang), beliau mengulangi bahawa penggunaan e-invois secara sukarela boleh membantu perniagaan menyusun rekod dengan lebih sistematik untuk manfaat mereka sendiri.