47 pindaan dijangka dibuat terhadap tiga akta lapuk

KUALA LUMPUR: Kerajaan dijangka melaksanakan 47 pindaan terhadap tiga akta yang dianggap paling lapuk dalam sistem perundangan negara, dengan hasil semakan dan kajian pembaharuan undang-undang jenayah dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri menjelang pertengahan 2027.
Tiga akta terbabit ialah Kanun Keseksaan (Akta 574), Kanun Prosedur Jenayah (Akta 593) dan Akta Keterangan 1950 (Akta 56). Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), M Kulasegaran, berkata hasil kajian itu akan dibincangkan terlebih dahulu bersama agensi kerajaan sebelum draf dan perkara lain dimuktamadkan.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Townhall Semakan dan Kajian Pembaharuan Undang-undang Jenayah yang dirasmikan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, di Parlimen, hari ini. Cadangan itu dijangka dibentangkan kepada Jemaah Menteri sebelum dibawa ke Parlimen.
Turut hadir ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembaharuan Undang-undang Jenayah (CLRC), Tan Sri Harmindar Singh Dhaliwal, serta anggota Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Reformasi Institusi, William Leong Jee Keen.
Dalam ucapannya, Harmindar berkata syor yang dikemukakan merangkumi 20 cadangan berkaitan Akta 574, 11 bagi Akta 593 dan 16 bagi Akta 56. Cadangan itu menyentuh pelbagai perkara, termasuk perlindungan kebebasan diri, keadilan dalam prosiding jenayah dan layanan terhadap golongan rentan.
Ia turut meliputi kebolehpercayaan serta kebolehterimaan keterangan, perlindungan mangsa dan saksi, selain keperluan memastikan liabiliti jenayah dan hukuman kekal adil serta setimpal. Sebahagian syor bertujuan memperkukuh perlindungan bagi individu yang berurusan dengan sistem keadilan jenayah, manakala yang lain disasarkan untuk meningkatkan kecekapan penyiasatan dan prosiding mahkamah.
Harmindar berkata cadangan itu juga bertujuan mewujudkan kejelasan, keseragaman dan keadilan yang lebih baik dalam pelaksanaan undang-undang. Beliau menegaskan syor berkenaan perlu dilihat secara menyeluruh sebagai usaha menambah baik sistem keadilan jenayah, termasuk melindungi masyarakat dan hak individu, memastikan akauntabiliti serta mengekalkan keyakinan awam terhadap pentadbiran keadilan.