31 maut, 21 cedera dalam kebakaran lori tangki di Kaherah

KAHERAH: Seramai 31 orang terbunuh dan 21 lagi cedera dalam kebakaran besar selepas sebuah lori tangki bahan api terlibat dalam kemalangan di Jalan Lingkaran Kaherah, kawasan Warraq, utara pusat bandar lama Kaherah, pada Rabu malam.
Kementerian Kesihatan Mesir memaklumkan mangsa yang cedera dihantar ke hospital berdekatan untuk menerima rawatan. Mereka mengalami kecederaan melecur dan sesak nafas selepas menghidu asap tebal daripada kebakaran itu.
Media milik kerajaan melaporkan lori tangki berkenaan terbalik, menyebabkan petrol yang dibawanya tertumpah ke beberapa kenderaan berhampiran. Api kemudian merebak dengan pantas. Rakaman yang tular di media sosial memperlihatkan api marak, asap hitam tebal menjulang ke udara dan beberapa kenderaan hangus terbakar.
Akhbar Al-Ahram, yang memetik sumber siasatan, melaporkan pemandu lori tangki milik sebuah kontraktor swasta itu dipercayai hilang kawalan selepas kabel elektrik voltan tinggi terjatuh di hadapan kenderaannya. Lori itu dikatakan merempuh pembahagi jalan sebelum terbalik dan terbakar.
Pejabat pendakwa raya wilayah membuka siasatan berhubung kejadian itu dan mengarahkan ujian DNA dijalankan bagi membantu mengenal pasti mangsa yang maut. Sebanyak 39 ambulans dikerahkan ke lokasi untuk membantu operasi menyelamat serta membawa mangsa ke hospital, menurut Kementerian Kesihatan.
Pasukan kecemasan berjaya memadamkan kebakaran dan membersihkan laluan yang terjejas sebelum lebuh raya dibuka semula kepada pengguna.
Mesir berdepan beberapa insiden kebakaran maut dan kemalangan jalan raya dalam beberapa tahun kebelakangan ini, yang sering dikaitkan dengan masalah penyelenggaraan infrastruktur serta pelanggaran peraturan lalu lintas. Data rasmi menunjukkan hampir 6,000 orang maut dalam kemalangan jalan raya di negara itu tahun lalu, meningkat berbanding tahun sebelumnya.