Enam individu didakwa edar 96.2kg metamfetamin di pangkalan TUDM Subang

SHAH ALAM: Tiga pegawai tentera dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram metamfetamin di ruang legar pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Subang pada 17 November.
Mereka ialah Amir Ariffudin Aminullah, Arief Fauzan Ali, Amirul Faisal Rosdin, Tan Sui Seng, Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin dan Afifah Amdas. Keenam-enamnya didakwa secara bersama mengedar dadah berkenaan.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya. Mereka mengangguk selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Jika sabit kesalahan, mereka berdepan hukuman penjara antara 30 hingga 40 tahun atau hukuman mati. Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 23 Februari untuk pengurusan kes.
Timbalan Pendakwa Raya Ahmad Sazali Omar dan Fairuz Johari hadir bagi pihak pendakwaan. Empat lelaki itu diwakili peguam Amin Abdullah, Arif Azmi, Johan Radzi, Raqib Osman, Alif Ahmad Tarmizi dan Arif Rafin.
Nur Hanis dan Afifah tidak diwakili peguam.