Dua pekerja cedera dalam letupan dan kebakaran di kilang Kerteh

KEMAMAN: Dua pekerja cedera dalam letupan dan kebakaran di kemudahan penyimpanan minyak sisa industri di sebuah kilang pemprosesan dan kitar semula bahan buangan terjadual di Taman Biopolimer, Kerteh, malam tadi.
Timbalan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Terengganu, Shahrin Yusmar Mat Yusof, berkata mangsa ialah Khairul Azuan Rashid, 40, yang mengalami kecederaan di kepala, dan Md Abdul Alim, 38, warga Bangladesh yang melecur pada beberapa bahagian badan. Kedua-duanya dibawa ke klinik kesihatan Paka untuk rawatan lanjut.
Menurut Shahrin, letupan itu menyebabkan kebakaran merebak dan menyambar dram yang disimpan berhampiran sebuah relau di premis berkenaan. Ketika kejadian, seramai 15 pekerja sedang bertugas di kilang yang mengitar semula dan mendapatkan semula minyak sisa industri serta pelarut untuk menghasilkan produk yang boleh digunakan semula.
Beliau berkata JBPM menerima panggilan kecemasan pada 9.28 malam dan menggerakkan pasukan dari balai bomba Kerteh, Paka, Kijal dan Chukai. Operasi memadam kebakaran melibatkan 48 anggota, 13 jenis kenderaan bomba dan penyelamat serta logistik sokongan.
Kebakaran memusnahkan kira-kira 80 peratus kemudahan penyimpanan minyak sisa yang berukuran 27 meter panjang dan 21 meter lebar. Anggota bomba menggunakan pancutan air bercampur buih untuk mengawal dan memadamkan api.
Shahrin berkata kebakaran berjaya dikawal pada 10.57 malam, manakala operasi tamat pada 5.14 pagi.