Lelaki Rusia bersembunyi di hutan Thailand selama 19 tahun

Sumber: Harian Metro
Lelaki Rusia bersembunyi di hutan Thailand selama 19 tahun
Gambar: Harian Metro

BANGKOK: Seorang lelaki warga Rusia yang bertahan hidup di hutan Thailand selama hampir dua dekad ditahan selepas pihak berkuasa mendapati dia memasuki negara itu secara haram.

Lelaki itu ditemukan sekumpulan pelancong dari Afrika Selatan ketika mereka meneroka sebuah pulau yang terkenal menerusi filem ‘The Beach’ karya Alex Garland. DJ Boardman, 37, berkata dia sedang berbasikal di kawasan terpencil Surat Thani di selatan Thailand apabila ternampak kawasan berpasir menerusi Google Maps.

Boardman berkata, kumpulan itu meredah bongkah batu besar untuk sampai ke pantai sebelum terkejut melihat seorang lelaki duduk di atas pokok palma sambil memerhatikan mereka. Lelaki itu tidak boleh bertutur dalam bahasa Inggeris, namun bersikap tenang dan menawarkan beberapa biji kelapa selepas membelahnya.

Menurut Boardman, lelaki berkenaan turut menunjukkan tempat dia bertahan hidup, termasuk buaian yang dijadikan tempat tidur serta kawasan kediamannya di pantai itu.

Pemeriksaan polis terhadap sistem imigresen Thailand mendapati tiada rekod lelaki itu memasuki negara berkenaan melalui saluran rasmi. Lelaki itu mengesahkan dia memasuki Thailand secara haram 19 tahun lalu, manakala saluran Telegram Rusia, Baza, melaporkan dia mengelak daripada pihak berkuasa sejak 2007.

Polis kemudian menemukannya di sebuah pondok usang di dalam hutan, dengan barang-barang miliknya berselerak di sekeliling kawasan itu. Dia kini ditahan dan berdepan tuduhan memasuki Thailand secara haram serta tinggal tanpa kebenaran.

Jika didapati bersalah, lelaki itu boleh dipenjara sebelum dihantar pulang dan disenaraihitamkan daripada memasuki Thailand.