Empat pendermaan organ hasilkan 16 pemindahan dalam lima hari

KUALA LUMPUR: Sebanyak 16 pemindahan organ berjaya dilaksanakan di seluruh negara dalam tempoh lima hari susulan empat pendermaan, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.
Beliau berkata, pencapaian itu membabitkan pendermaan di Hospital Universiti Sains Malaysia, Hospital Melaka, Hospital Shah Alam dan Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru.
Daripada jumlah pemindahan itu, lapan membabitkan buah pinggang, dengan masing-masing empat dilakukan di Hospital Selayang dan Hospital Kuala Lumpur. Ia turut merangkumi tiga pemindahan hati, satu pemindahan jantung dan empat pemindahan kornea.
Dzulkefly berkata pengorbanan penderma serta keluarga mereka memberi peluang kehidupan kedua kepada pesakit yang memerlukan. Beliau turut menyampaikan penghormatan dan takziah kepada keluarga penderma menerusi hantaran di laman X pada Rabu.
“Keberanian kalian membuat keputusan paling mulia di saat berduka telah memberi peluang kehidupan kedua buat insan-insan lain yang memerlukan,” katanya.
Beliau menyeru individu yang berikrar sebagai penderma organ supaya memaklumkan hasrat itu kepada ahli keluarga. Menurutnya, kefahaman dan persetujuan waris merupakan kunci utama untuk menyempurnakan amanah berkenaan.
Dzulkefly turut menghargai warga kerja kesihatan di Pusat Transplan Nasional dan pasukan pemindahan organ di hospital terlibat. Mereka termasuk pakar bedah, pasukan anestesiologi, penyelaras transplan, jururawat, ahli farmasi serta pasukan sokongan.
Katanya, Kementerian Kesihatan kekal komited memperkukuh dan memperluas perkhidmatan pemindahan organ di seluruh negara. Usaha itu termasuk penubuhan Majlis Transplan Kebangsaan, yang mengadakan mesyuarat pertama pada 2 Nov lepas.