10 kru Malaysia bantu Petrolife Racing catat keputusan positif di Paul Ricard

Sumber: Harian Metro
10 kru Malaysia bantu Petrolife Racing catat keputusan positif di Paul Ricard
Gambar: Harian Metro

KUALA LUMPUR: Petrolife Racing Team memulakan kempen Siri Le Mans Asia 2026/27 dengan keputusan positif apabila menduduki tempat keenam dalam Perlumbaan 1 kelas GT3 di Litar Paul Ricard, Perancis, dari 13 hingga 15 November lalu.

Pasukan kendalian pelumba antarabangsa negara, Afiq Ikhwan Yazid, turut bangkit selepas jentera mereka dilanggar dari belakang untuk menamatkan Perlumbaan 2 di kedudukan ke-11. Pasukan itu dibentuk dalam tempoh dua bulan dan membawa 10 kru Malaysia bagi mengendalikan Mercedes-AMG GT3 EVO bernombor tujuh.

Jentera berkenaan dipandu trio antarabangsa yang terdiri daripada Stephane Tribaudini dari Perancis serta Simon Birch dan Frederik Schandorff dari Denmark. Dalam perlumbaan pertama, mereka bermula di petak ke-12 daripada 28 jentera dalam kelas GT3 sebelum naik enam anak tangga dan mengutip lapan mata kejuaraan.

Bagi Perlumbaan 2, trio itu memulakan saingan dari petak ke-10. Namun, pelanggaran pada peringkat awal menjejaskan usaha mereka untuk mengekalkan rentak sebelum menamatkan perlumbaan di tempat ke-11.

Afiq, yang juga prinsipal pasukan, berkata pencapaian itu menjadi petanda positif bagi pasukan yang baru dibentuk, selain memberi pengalaman berharga kepada kru. Beliau menyifatkan kemaraan dari tempat ke-12 ke tempat keenam dalam perlumbaan pertama sebagai permulaan memberangsangkan.

“Perlumbaan 2 lebih mencabar, namun saya bangga melihat tindak balas pelumba dan kru selepas insiden pelanggaran itu,” katanya dalam satu kenyataan.

Afiq berkata pasukan akan membawa pengajaran daripada perlumbaan di Paul Ricard ke Jerez, dengan sasaran meraih kemenangan pertama dalam kelas GT3 musim ini dan menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik keseluruhan.

Beliau turut menyifatkan penyertaan 10 kru Malaysia sebagai langkah penting untuk membentuk pasukan perlumbaan teras yang dibarisi sepenuhnya anak tempatan. Petrolife Racing mahu membuka peluang kepada jurutera, pakar strategi perlumbaan, penganalisis data, mekanik dan pelumba Malaysia menimba pengalaman dalam perlumbaan ketahanan antarabangsa.

“Kehadiran 10 kru Malaysia bersama kami di Paul Ricard adalah langkah besar ke arah mencapai matlamat itu. Kami mahu memberi lebih ramai tenaga kerja tempatan pengalaman sebenar dalam perlumbaan ketahanan di peringkat antarabangsa,” katanya.

Siri Le Mans Asia 2026/27 berlangsung di Eropah menerusi siri Musim Sejuk Le Mans. Perlumbaan 3 dan 4 dijadual berlangsung di Litar Jerez, Sepanyol, dari 15 hingga 17 Januari 2027, manakala Perlumbaan 5 dan 6 akan menutup musim di Litar Antarabangsa Algarve, Portugal, dari 19 hingga 21 Februari 2027.