Tribunal PBB persoal bukti Israel dalam pemecatan kakitangan UNRWA

Sumber: Al Jazeera

Sebuah tribunal Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) mempersoalkan asas bukti yang digunakan untuk memecat kakitangan UNRWA pada 2024, selepas mendapati keputusan berhubung seorang pekerja dibuat hampir sepenuhnya berdasarkan dakwaan Israel yang tidak disokong bukti. Tribunal itu memutuskan UNRWA gagal mengemukakan bukti bagi menyokong pemecatan pekerja berkenaan, Abu Awad.

UNRWA, agensi PBB bagi pelarian Palestin, memecat sembilan kakitangan Palestin pada Januari 2024. Tindakan itu menyusul dakwaan Israel bahawa mereka terlibat dalam serangan yang diketuai Hamas di selatan Israel pada 7 Oktober 2023.

Keputusan Tribunal Pertikaian UNRWA, yang merupakan badan bebas dalam PBB, turut meneliti proses siasatan dalaman PBB. Menurut penghakiman yang dilihat Al Jazeera pada Khamis, siasatan itu tidak merangkumi keterangan daripada 19 kakitangan yang dituduh Israel terbabit dalam serangan berkenaan.

Penghakiman itu menyatakan “kebimbangan keselamatan” menghalang Pejabat Perkhidmatan Pengawasan Dalaman PBB (OIOS) daripada menemubual 19 kakitangan itu dan memberi mereka peluang sewajarnya untuk menjawab dakwaan terhadap mereka.

Tribunal berkata dakwaan terhadap pekerja berkenaan “hampir sepenuhnya berdasarkan maklumat dalam milikan Israel”. Maklumat itu, menurut penghakiman, kekal dalam jagaan pihak berkuasa Israel, yang mengetahui bagaimana, oleh siapa, bila dan di mana ia dikumpulkan.

Tribunal turut menyuarakan keraguan terhadap perbualan telefon dan mesej yang menurut Israel dipintas sebagai bukti penglibatan kakitangan. Dakwaan itu termasuk komunikasi dengan seseorang yang dikenal pasti pegawai Israel sebagai anggota operasi Hamas.

OIOS tidak mengesahkan dalam laporan siasatannya bahawa ia berpuas hati individu yang membuat panggilan itu ialah anggota operasi Hamas atau pengguna telefon penerima ialah pemohon, menurut penghakiman. Tribunal juga menyatakan satu panggilan yang didakwa dipintas melibatkan kad SIM pendua, yang lazim digunakan di Gaza.

Penghakiman itu berkata komen dalam panggilan yang dikaitkan dengan kad SIM berkenaan didapati bukan dibuat oleh kakitangan UNRWA seperti yang didakwa pada awalnya. Tribunal menyifatkan bukti Israel sebagai tidak disokong serta mempunyai “nilai dan kebolehpercayaan pembuktian yang terhad”.

Keputusan bertarikh 11 November itu memerintahkan UNRWA membayar Abu Awad gaji untuk tempoh setahun dan pampasan AS$5,000 bagi “kerugian moral”. Keputusan khusus itu berkaitan pemecatan Abu Awad, seorang daripada sembilan pekerja yang diberhentikan.

Pada Januari 2024, selepas berunding dengan Setiausaha Agung PBB Antonio Guterres, Pesuruhjaya Agung UNRWA ketika itu, Philippe Lazzarini, memutuskan kontrak sembilan kakitangan itu ditamatkan. Surat pemecatan mereka menyatakan dakwaan terhadap mereka “sangat serius dan boleh dipercayai”.

Keputusan pemecatan itu disahkan selepas siasatan PBB merumuskan bahawa kakitangan berkenaan berkemungkinan terbabit dalam serangan 7 Oktober. Laporan turut menyatakan Lazzarini dan Guterres berkemungkinan membuat keputusan itu dengan harapan tindakan tersebut dapat meredakan Israel serta sekutunya dan membolehkan kerja kemanusiaan diteruskan di Gaza.

Namun, UNRWA tetap berdepan pemotongan pembiayaan besar daripada penderma. Kira-kira 600 kakitangannya diberhentikan, gaji pekerja di Gaza dipotong 20 peratus dan akses bantuan kekal disekat Israel ketika krisis kemanusiaan di wilayah itu semakin buruk.