Foto Gaza cetus keprihatinan di Sarajevo
SARAJEVO: Pameran foto karya Salah Ostaz, seorang jurugambar yang masih berada di Gaza, mengundang perhatian penduduk Sarajevo apabila memaparkan kehidupan orang awam yang berdepan serangan roket serta kekurangan makanan dan air.
Foto-foto itu dipamerkan di Pusat Kebudayaan Bosnia, dengan hasil lelongan karya dan barangan sumbangan disalurkan bagi menampung kos mendapatkan diploma Ostaz. Lebih 150 foto dihantar olehnya, manakala kira-kira 60 dipilih untuk pameran itu.
Antara imej yang dipamerkan ialah seorang ibu mendakap anak perempuannya, seolah-olah cuba melindungi dan menenangkan anak itu serentak. Foto lain menunjukkan seorang kanak-kanak dengan mata terbuka luas serta orang ramai beratur untuk mendapatkan sesudu makanan.
Namun, terdapat juga gambaran yang berbeza: kanak-kanak tersenyum sambil berenang ketika senja di pantai yang sesak. Foto itu membawa unsur harapan di tengah penderitaan yang dipaparkan dalam karya Ostaz.
Pameran berkenaan dekat dengan pengalaman warga Sarajevo, yang pernah melalui kepungan oleh tentera Serb dari 1992 hingga 1995. Pengalaman itu menjadikan imej penderitaan di Gaza sukar dipandang tanpa mengingati kesengsaraan yang pernah dialami bandar itu.
“Tiada sesiapa yang pernah melalui kepungan Sarajevo sepatutnya tidak peduli terhadap penderitaan orang lain,” kata pengarah Festival Teater Antarabangsa MESS, Nihad Kresevljakovic, ketika mengunjungi pameran itu.
Usaha membawa karya Ostaz ke Sarajevo bermula selepas Valida Hadzimuratovic, wartawan radio dan DJ yang dikenali di Los Angeles sebagai Valida Carroll, menerima panggilan video daripadanya pada Oktober tahun lalu. Ketika itu, beliau bersama aktivis lain menganjurkan siaran langsung TikTok mingguan yang menampilkan wartawan Palestin berkongsi perkara yang mereka saksikan.
Panggilan itu menjadi permulaan persahabatan mereka. Dalam bulan-bulan berikutnya, Hadzimuratovic berkongsi foto Ostaz dan mengetahui lebih lanjut tentang kehidupannya, termasuk sebab beliau belum dapat mengambil diploma.
“Saya terfikir betapa mengecewakannya apabila sudah menamatkan pengajian dan berusaha bersungguh-sungguh, tetapi tidak dapat memperoleh sesuatu yang asas seperti diploma sendiri,” kata Hadzimuratovic.
Beliau dan rakannya, Nasiha, seorang warga Bosnia yang turut menetap di Los Angeles, kemudian mengumpul dana untuk membayar yuran pengajian Ostaz. Pada September, mereka memutuskan untuk mengadakan pameran di Sarajevo. Milomir Kovacevic, yang pernah mendokumentasikan kehidupan di bandar itu semasa kepungan, membantu memilih karya yang dipamerkan.
Lelongan senyap turut diadakan sepanjang pameran. Kira-kira dua dozen pengusaha seni dan perniagaan kecil menyumbangkan hasil kerja serta hadiah, sementara sukarelawan dan aktivis daripada gerakan Ka Gazi (Towards Gaza) membantu menguruskan acara itu.
Setiap Selasa malam, sukarelawan Ka Gazi berkumpul di Eternal Flame, sebuah tugu peringatan antipasisis di pusat Sarajevo bagi mengenang mereka yang terkorban menentang fasisme semasa Perang Dunia Kedua. Mereka membacakan nama kanak-kanak Palestin yang terbunuh, satu demi satu.
Nama kanak-kanak Palestin juga pernah dibacakan di Festival Teater Antarabangsa MESS tahun lalu. Dua tahun lalu, festival itu dibuka dengan Metro Gaza, sebuah produksi yang menampilkan Palestinian Freedom Theatre dari Jenin, Tebing Barat yang diduduki. Moto festival pada tahun itu ialah “Unstoppable Life”.
Pada penghujung malam pameran, pengunjung membawa pulang foto dan barangan yang dimenangi dalam lelongan. Semua hasil kutipan disalurkan untuk menampung kos mendapatkan diploma Ostaz.
“Kami tidak dapat membantu semua orang di Gaza. Keperluannya sangat besar dan kemusnahannya tidak terukur. Tetapi kami boleh membantu seorang,” kata Hadzimuratovic.