Suri rumah nafi buat komunikasi palsu isu curi sarung pasport di pejabat Imigresen
KUALA LUMPUR – Seorang suri rumah mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis atas satu pertuduhan membuat komunikasi palsu berhubung dakwaan seorang pegawai Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menuduhnya mencuri sarung pasport, tiga bulan lalu. Tun Nur Syalisa Muhamad Yusni, 28, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Muhammad Ilmami Ahmad.
Mengikut pertuduhan, wanita itu didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi palsu menerusi perkhidmatan aplikasi Threads menggunakan akaun lisayusni pada 21 Ogos, dengan hantaran mendakwa seorang pegawai JIM di Pusat Transformasi Bandar UTC Pudu telah menuduhnya mencuri sarung pasport dengan niat untuk menyakitkan hati orang lain. Komunikasi berkenaan dibaca di Pejabat Imigresen UTC itu, di Dang Wangi, pada jam 9 pagi 24 Ogos.
Sehubungan itu, tertuduh didakwa mengikut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama dengan denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya. Mahkamah turut boleh mengenakan denda tambahan RM5,000 bagi setiap hari kesalahan itu berterusan selepas sabitan. Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya mencadangkan ikat jamin sebanyak RM20,000 dengan seorang penjamin warganegara Malaysia, namun peguam tertuduh merayu RM3,000 atas alasan tertuduh bergantung sepenuhnya kepada pendapatan suami sebagai jurulatih peribadi.
Selepas mendengar permohonan kedua-dua pihak, Hakim Muhammad Ilmami membenarkan tertuduh diberi ikat jamin sebanyak RM8,000 dengan seorang penjamin, dengan syarat tambahan supaya tertuduh menyerahkan pasport kepada mahkamah. Sebutan semula ditetapkan pada 11 Januari 2027. Pada 25 Ogos, JIM membuat laporan polis susulan hantaran tular di media sosial mengenai dakwaan pengalaman seorang pemohon ketika berurusan di Pejabat Imigresen Cawangan UTC Pudu Sentral. Sebelum ini, polis merakam keterangan daripada pegawai JIM dan seorang wanita yang terbabit dalam dakwaan kes kecurian sarung pasport di pejabat Imigresen terbabit. Tular di media sosial, wanita itu mendakwa dia dimalukan di hadapan orang ramai selepas seorang pegawai JIM didakwa menuduhnya mencuri sarung pasport ketika berurusan di pejabat imigresen berkenaan, dakwa wanita itu bahawa dia secara tidak sengaja membawa keluar sarung pasport selepas tersilap menyangka sarung berkenaan diberikan secara percuma bersama pasport baharunya.