Amway Malaysia terbit filem sulung sambut ulang tahun ke-50 angkat kisah keusahawanan

Sumber: Sinar Harian

Amway Malaysia mengukuhkan pendekatan berbeza dalam mendekati masyarakat melalui penerbitan filem sulung bertajuk The Starting Line: One Step Might Change Everything, yang mengangkat kisah perjalanan keusahawanan ke layar perak. Filem itu dibuat untuk memaparkan pengalaman sebenar Pemilik Perniagaan Amway (ABO) dan menonjolkan peluang serta cabaran dalam perniagaan tersebut.

Filem berkenaan ditayangkan kepada lebih 1,700 penonton di sembilan bandar seluruh negara melalui program AM50 Movie Premiere and Platinum Meeting yang berlangsung dari 19 hingga 22 Oktober lalu. Penghasilan filem itu merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-50 Amway di Malaysia (AM50), dengan memberi fokus kepada kisah tiga rakyat Malaysia yang berdepan pelbagai cabaran dalam usaha mencapai matlamat menerusi perniagaan Amway.

Menggabungkan elemen penceritaan dengan pengalaman ABO, karya itu turut memaparkan kepentingan mengambil langkah pertama dalam meneroka peluang baharu serta mengubah hala tuju hidup. Pengarah Urusan Amway Malaysia, Singapura, Brunei, Indonesia dan Filipina, Jason Leng berkata filem itu dihasilkan untuk menyampaikan kisah yang mampu menyentuh hati serta memberi inspirasi kepada masyarakat daripada pelbagai latar belakang. Beliau menambah bahawa perniagaan Amway menyediakan peluang kepada individu membangunkan kemahiran, meningkatkan keyakinan diri dan memperkukuh daya tahan kewangan.

“Mengikut semangat ulang tahun ke-50 di Malaysia, kami berharap filem ini dapat menggalakkan lebih ramai individu meneroka potensi keusahawanan bersama Amway. Setiap kejayaan bermula dengan keberanian untuk mengambil langkah pertama,” kata beliau. Tayangan perdana eksklusif bermula di GSC Aurum, The Exchange TRX sebelum dibawa ke lapan lokasi lain di seluruh negara bagi memberi peluang kepada pemimpin ABO menontonnya lebih awal. Filem itu turut menerima maklum balas positif penonton yang mengaitkan jalan ceritanya dengan realiti kehidupan serta cabaran dalam proses perubahan menuju impian. Selain sebagai medium berkongsi pengalaman ABO, pihak Amway menegaskan filem ini memberi gambaran mengenai peranan keusahawanan dalam pembangunan diri dan selari dengan tujuan syarikat membantu insan menjalani kehidupan yang lebih baik. Filem The Starting Line: One Step Might Change Everything kini boleh ditonton menerusi saluran YouTube Amway Malaysia.