Serangan Rusia ragut sekurang-kurangnya lima nyawa, ganggu bekalan elektrik Ukraine
Serangan Rusia di seluruh Ukraine mengorbankan sekurang-kurangnya lima orang, mencederakan puluhan yang lain dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik di lima wilayah, menurut pihak berkuasa tempatan pada Rabu.
Timbalan Menteri Tenaga, Artem Nekrasov, berkata gangguan berlaku di Dnipropetrovsk, Donetsk, Zaporizhia, Odesa dan Kharkiv. Keadaan paling sukar dilaporkan di Zaporizhia dan Dnipropetrovsk, apabila serangan merosakkan sejumlah besar kemudahan tenaga yang penting untuk bekalan elektrik.
Loji Kuasa Nuklear Zaporizhzhia yang diduduki Rusia turut kehilangan bekalan elektrik luar selepas bedilan dan beralih menggunakan penjana diesel. Nekrasov berkata kejadian itu merupakan kali ke-17 loji berkenaan kehilangan bekalan kuasa luar pada tahun ini.
Kementerian Tenaga berkata kerja pembaikan dan pemulihan sedang dijalankan di semua wilayah terjejas. Namun, serangan berulang dan amaran serangan udara yang berterusan menyukarkan kerja berkenaan serta melambatkan pemulihan bekalan elektrik, menurut kenyataan kementerian yang disiarkan agensi berita Interfax.
Di wilayah Odesa, dua orang terbunuh dan tiga lagi, termasuk seorang kanak-kanak, cedera dalam serangan Rusia pada lewat Selasa. Serangan itu mengenai kenderaan serta bangunan persendirian dan perindustrian, kata Gabenor Oleh Kiper menerusi Telegram.
Pasukan Rusia turut menyerang perusahaan di wilayah Chernihiv, utara Ukraine, lewat Selasa, mengakibatkan seorang terbunuh, menurut Perkhidmatan Kecemasan Negara Ukraine. Di Donetsk, bedilan terhadap penempatan berlaku tujuh kali dalam tempoh sehari dan seorang terbunuh di Kramatorsk, kata ketua Pentadbiran Tentera Wilayah Donetsk, Vadym Filashkin.
Di Kharkiv, serangan ke atas bandar itu dan enam penempatan di wilayah berkenaan dalam tempoh sehari mengorbankan seorang dan mencederakan 14 orang, menurut ketua Pentadbiran Tentera Wilayah Kharkiv, Oleh Syniehubov, seperti dilaporkan Interfax. Kyiv pula diserang dron semalaman, mencetuskan kebakaran di sebuah bangunan pangsapuri bertingkat dan mencederakan dua orang, kata Datuk Bandar Vitali Klitschko.
Sementara itu, serangan dron Ukraine di wilayah Samara, Rusia, mengorbankan seorang dan menyebabkan gangguan bekalan elektrik. Agensi berita Rusia memetik Gabenor Vyacheslav Fedorishchev sebagai berkata wilayah itu merupakan hab penapisan minyak utama bagi syarikat minyak negara, Rosneft.