Skandal penderaan cetus persoalan mengenai penjagaan psikiatri di Balkan
Ribuan orang berhimpun di Dataran Ban Josip Jelacic, Zagreb, pada Sabtu sambil membawa bantal putih bertanda cap tangan berdarah, dalam tunjuk perasaan mengenang Kristian Josip Peris, 32, yang meninggal dunia di Klinik Psikiatri Sveti Ivan di ibu negara Croatia itu.
Rakaman kamera keselamatan yang didedahkan kepada umum menunjukkan kakitangan perubatan didakwa cuba menahan Peris dengan meletakkan bantal di mukanya. Beberapa hari kemudian, satu lagi rakaman dari wad psikiatri sebuah hospital awam di Zenica, Bosnia dan Herzegovina, mencetuskan kemarahan selepas menunjukkan kakitangan perubatan menyerang seorang pesakit secara fizikal.
Kedua-dua kes di negara jiran itu membawa kepada penahanan sekurang-kurangnya 13 pekerja kesihatan, peletakan jawatan ketua institusi psikiatri yang terlibat serta kemarahan orang ramai. Insiden berkenaan turut menimbulkan persoalan tentang apa yang berlaku di sebalik pintu tertutup institusi yang sepatutnya melindungi golongan paling rentan.
Kejadian itu bukan yang pertama mengejutkan rantau berkenaan. Bosnia dan Herzegovina masih mengingati skandal penderaan institusi Pazaric, di sebuah penempatan kecil kira-kira 30km dari Sarajevo. Penghuni institusi kerajaan untuk kanak-kanak dan golongan muda yang memerlukan sokongan tambahan dilaporkan diikat pada radiator dan didera secara fizikal.
Croatia dan Bosnia dan Herzegovina pernah menjadi sebahagian daripada negara yang sama, Yugoslavia. Dalam tiga dekad lalu, kedua-duanya berusaha membawa sistem kesihatan dan masyarakat masing-masing lebih dekat kepada piawaian Eropah. Croatia menyertai Kesatuan Eropah pada 2013, manakala Bosnia dan Herzegovina sedang mengusahakan laluannya sendiri ke arah keanggotaan.
Penjagaan pesakit psikiatri dalam wad di Croatia, Bosnia dan Herzegovina serta Serbia kebanyakannya disediakan oleh institusi kesihatan awam. Keadaan ini berbeza daripada beberapa negara Barat, yang menyaksikan penyedia swasta memainkan peranan besar dalam perkhidmatan kesihatan mental. Penyedia swasta juga wujud di rantau itu, namun institusi awam kekal sebagai teras rawatan hospital psikiatri khusus.
Oleh itu, pihak berkuasa awam mempunyai peranan penting dalam memastikan rawatan dapat diakses, institusi diawasi, jumlah kakitangan mencukupi dan hak pesakit dilindungi.
Edin Bjelosevic, pakar neuropsikiatri dan profesor universiti dari Zenica, berkata rangka kerja undang-undang di negara-negara yang muncul selepas perpecahan Yugoslavia secara umumnya mencerminkan piawaian semasa dalam rawatan individu dengan masalah kesihatan mental.
“Masalahnya terletak pada pematuhan protokol itu secara konsisten, bukan pada akses kepada rawatan dan prosedur moden,” katanya kepada Al Jazeera.
Data Eurostat, pejabat statistik Kesatuan Eropah, menunjukkan kira-kira 96,000 pakar psikiatri bekerja di 25 negara anggota pada 2024. Jerman mempunyai jumlah tertinggi berbanding saiz penduduknya, iaitu 29 pakar psikiatri bagi setiap 100,000 orang.
Croatia mencatatkan 19.1 pakar psikiatri bagi setiap 100,000 penduduk, melebihi purata Eropah, manakala Serbia mempunyai 12.4. Data Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi 2020 pula menunjukkan Bosnia dan Herzegovina mempunyai 9.48 pakar psikiatri bagi setiap 100,000 orang. Angka perbandingan yang lebih terkini bagi negara itu tidak tersedia.
Perbezaan turut kelihatan pada jumlah katil hospital psikiatri. Croatia mempunyai 93 katil bagi setiap 100,000 penduduk, berbanding purata Eropah sebanyak 71. Serbia mencatatkan 82 katil, manakala Bosnia dan Herzegovina mempunyai 40, jauh di bawah purata.
Angka Eurostat dan WHO mungkin berbeza daripada data yang diterbitkan agensi statistik negara masing-masing. Bagaimanapun, jumlah pakar psikiatri dan katil hospital sahaja tidak mencukupi untuk menggambarkan sepenuhnya mutu rawatan, keselamatan pesakit atau keadaan kerja profesional kesihatan.
Dalam laporan 2024-2025, Ombudswoman Croatia menggesa Kementerian Kesihatan memperbaiki operasi institusi psikiatri. Antara cadangannya ialah meningkatkan latihan kakitangan perubatan dalam penggunaan langkah paksaan terhadap individu dengan masalah kesihatan mental.
Langkah paksaan digunakan di institusi psikiatri di seluruh dunia untuk mengehadkan pergerakan pesakit buat sementara waktu bagi mencegah risiko segera mereka mencederakan diri sendiri atau orang lain. Namun, langkah itu bukan kaedah rutin untuk mengawal pesakit. Ia sepatutnya menjadi pilihan terakhir selepas pendekatan lain tidak berhasil.
Selepas kematian Peris, Kementerian Kesihatan Croatia mengenal pasti kekurangan di klinik berkenaan dan mengarahkan lima langkah pembetulan. Pemeriksaan mendapati kelemahan dalam latihan dan jumlah kakitangan, selain masalah pemantauan pesakit yang dikenakan langkah paksaan, penyimpanan rekod perubatan serta prosedur pelaporan selepas kematian pesakit.
Jumlah kakitangan klinik itu tidak memenuhi piawaian yang ditetapkan, dengan kekurangan seorang ahli fisioterapi dan seorang pembantu jururawat. Kementerian turut menemukan kelemahan dari segi skop dan mutu latihan kakitangan untuk mengurus pesakit dalam keadaan krisis.
Menteri Kesihatan, Irena Hrstic, berkata empat daripada lima langkah pembetulan perlu dilaksanakan serta-merta. Klinik itu diberi tempoh 60 hari untuk memastikan jumlah kakitangannya memenuhi piawaian yang ditetapkan.
Penemuan itu membangkitkan kebimbangan yang melangkaui tindakan pekerja kesihatan secara individu, termasuk persoalan mengenai jumlah kakitangan, latihan dan penyeliaan institusi dalam penjagaan psikiatri.
Abdulah Kucukalic, pakar neuropsikiatri dari Sarajevo, berkata institusi psikiatri di rantau itu berdepan masalah bersama, iaitu kekurangan kakitangan bukan perubatan yang dilatih khusus untuk mengendalikan pesakit yang mengalami krisis psikiatri akut dengan selamat.
“Pada pandangan saya, perundangan kita sejajar atau hampir dengan piawaian antarabangsa. Doktor kita juga kerap disebut dalam kalangan profesional antarabangsa. Namun, institusi psikiatri kita kekurangan kakitangan bukan perubatan yang terlatih untuk mengurus pesakit dengan selamat,” katanya kepada Al Jazeera.
Beliau memberi amaran bahawa keadaan boleh menjadi sangat berisiko apabila pesakit dalam keadaan akut yang teruk tiba di hospital pada lewat petang atau malam, ketika jumlah kakitangan jauh lebih rendah.
“Pengalaman saya menunjukkan pesakit dalam keadaan akut tiba pada waktu petang atau malam, dalam keadaan yang amat serius. Ketika itu, mungkin hanya ada seorang doktor dan dua pekerja kesihatan di hospital. Mereka tidak mampu mengurus pesakit sedemikian dengan selamat,” katanya.
Kes di Zagreb dan Zenica memperlihatkan betapa tipisnya batas antara memberikan rawatan dengan meletakkan dalam bahaya mereka yang paling memerlukan perlindungan.