Polis KL pantau aktiviti sosial warga asing; operas mereka berterusan
KUALA LUMPUR – Polis Kuala Lumpur mempergiat pemantauan terhadap aktiviti sosial warga asing, termasuk komuniti warga Afrika yang didakwa menimbulkan kebimbangan berkaitan ketenteraman awam. Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Fadil Marsus, berkata operasi penguatkuasaan dilaksanakan secara berterusan tanpa tertumpu kepada sesuatu tempoh atau kumpulan warga asing tertentu, dan akan dilaksanakan dari semasa ke semasa mengikut keperluan.
Dalam kenyataannya selepas menghadiri Majlis Pelupusan Barang di sini, Fadil menegaskan bahawa jika terdapat kesalahan dan keperluan untuk menjalankan operasi, pihak berkuasa akan melaksanakannya tanpa mengira sama ada melibatkan warga Afrika atau warga asing dari negara lain. Beliau juga menjelaskan bahawa pihaknya merancang beberapa operasi bersepadu dengan kerjasama agensi penguatkuasa lain bagi menangani isu berkenaan.
Fadil menambah bahawa operasi bersepadu itu akan turut membabitkan pihak berkuasa tempatan (PBT) serta agensi berkaitan bagi mengenal pasti sebarang pelanggaran undang-undang. Beliau menekankan bahawa keadaan akan dipantau secara berterusan supaya tidak melarat sehingga menimbulkan masalah lain yang boleh mengganggu ketenteraman awam. Pada masa sama, beliau tidak menafikan kehadiran warga asing yang membawa budaya serta gaya hidup berbeza perlu dipantau bagi memastikan ia tidak menjejaskan keselamatan serta keharmonian masyarakat setempat.
Beliau turut menggalakkan orang ramai menyalurkan maklumat, termasuk rakaman video atau gambar berkaitan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis untuk tindakan segera. Dalam perkembangan lain, Bukit Aman kini mengesahkan bahawa pihaknya sedang menjalankan siasatan berhubung kesahihan dakwaan mengenai kegiatan organisasi jenayah terancang dari Nigeria dikenali sebagai De Norsemen Kclub International (DNKI) atau Vikings di Malaysia. Dakwaan mengenai kumpulan itu menjadi perhatian susulan hantaran di media sosial yang mendakwa organisasi itu bertapak di Malaysia serta mengaitkan rekruitmen melalui visa pelajar dan beberapa aktiviti mencurigakan.