Guardiola gesa dunia “ingkar terhadap kengerian” di Gaza
Pep Guardiola menggesa masyarakat antarabangsa “ingkar terhadap kengerian” berhubung keadaan di Gaza ketika berucap kepada aktivis Boycott, Divestment and Sanctions (BDS) pada persidangan Eropah BDS@20 di Barcelona minggu lalu.
Bekas jurulatih Manchester City, Bayern Munich dan Barcelona itu berkata tuntutan antarabangsa supaya apartheid, kolonialisme dan pendudukan ditamatkan kini lebih mendesak daripada sebelumnya. Ucapannya dikongsi secara eksklusif dengan Al Jazeera.
“Dunia selepas Gaza menuntut kita ingkar terhadap kengerian,” kata Guardiola dalam ucapan yang menyentuh sejarah penentangan Barcelona, tulisan pemikir Palestin serta kempen antarabangsa menentang apartheid di Afrika Selatan.
Beliau menyeru orang ramai daripada pelbagai lapisan masyarakat supaya memikirkan tanggungjawab mereka untuk bertindak. Katanya, mereka perlu sedar bahawa tiada sistem apartheid akan berakhir dengan sendirinya dan sikap berdiam diri tidak akan menyelamatkan sesiapa.
Guardiola turut menekankan bahawa usaha menentang ketidakadilan bukan tanggungjawab bidang tertentu sahaja. Beliau berkata sukan, kebudayaan, sains dan politik antarabangsa masing-masing mempunyai peranan yang boleh dilaksanakan.
“Apabila saya ditanya apa yang boleh dilakukan oleh sukan, saya fikir ia boleh melakukan banyak perkara, dan lebih lagi,” katanya. “Soalan yang sama terpakai kepada setiap bidang. Apa yang boleh dilakukan oleh kebudayaan? Sains? Politik antarabangsa?”
Di hadapan hadirin yang memenuhi Casino l’Alianca del Poblenou di Barcelona, Guardiola mengucapkan terima kasih kepada gerakan BDS atas segala usaha yang telah, sedang dan akan dilakukannya.
Persidangan itu menghimpunkan aktivis, ahli akademik, seniman, wakil kesatuan sekerja serta kempen dari seluruh Eropah dan luar rantau itu. Perbincangan tertumpu pada fasa seterusnya dalam usaha solidariti antarabangsa bersama Palestin.
Antara yang hadir ialah Rebecca O’Keeffe daripada Irish Sport for Palestine. Usaha kumpulan itu termasuk kempen Stop The Game, yang menggesa Football Association of Ireland (FAI) menarik diri daripada perlawanan menentang Israel.
O’Keeffe berkata kesediaan Guardiola menggunakan pengaruh globalnya membawa makna besar dalam dunia sukan, yang menyaksikan atlet boleh berdepan tentangan apabila bersuara mengenai isu tertentu.
“Orang seperti Pep Guardiola, yang mempunyai platform begitu besar ... jangkauan yang boleh dicapai amat bernilai,” katanya kepada Al Jazeera.
Merujuk kemusnahan di Gaza, Guardiola berkata desakan masyarakat antarabangsa semakin mendesak. Beliau menyatakan tuntutan bersama yang perlu diberi keutamaan ialah menghentikan pembunuhan beramai-ramai, menamatkan kepungan dan menghentikan pemindahan paksa.
“Setiap tindakan penting kerana setiap nyawa berharga,” katanya.
Guardiola turut mengaitkan perjuangan Palestin dengan sejarah Barcelona. Beliau mengingatkan bahawa bandar itu pernah dibom semasa Perang Saudara Sepanyol, selain mempunyai rangkaian lebih 1,300 tempat perlindungan bawah tanah yang dibina bagi melindungi orang awam.
“Barcelona, seperti begitu banyak bandar di tempat lain, turut berdepan pengeboman di bawah langit yang suram, di tengah-tengah peperangan,” katanya. Beliau menyifatkan bandar itu sebagai antara tempat yang secara konsisten menunjukkan solidariti kepada Palestin dan mengalu-alukan keputusan menganjurkan persidangan BDS Eropah di sana.
Bagi O’Keeffe, pengaruh tokoh seperti Guardiola merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk menggerakkan masyarakat dalam dunia sukan. Beliau berkata kekuatan Irish Sport for Palestine terletak pada kepimpinan dan panduan mereka yang berada dalam komuniti sukan, selain menegaskan suara atlet mempunyai pengaruh besar.
Menjelang akhir ucapannya, Guardiola membawa perbincangan melangkaui bidang sukan dengan merujuk tulisan penyair Palestin Mahmoud Darwish dan pemikir Edward Said. Beliau mengimbas perbualan antara kedua-duanya mengenai masa depan pembebasan Palestin, yang disifatkan Said sebagai sesuatu yang mustahil.
Apabila Darwish bertanya sama ada perkara mustahil itu masih jauh, Said menjawab: “Satu generasi lagi.” Guardiola kemudian memberitahu para perwakilan: “Andalah generasi itu sekarang.”
Beliau menutup ucapan dengan menyebut Handala, watak kartun Palestin terkenal ciptaan Naji al-Ali. Watak itu sentiasa membelakangi penonton sehingga rakyat Palestin dapat pulang ke tanah air mereka.
“Semoga benih solidariti terus bercambah. Semoga Handala dapat pulang tidak lama lagi,” kata Guardiola, sebelum mengakhiri ucapan dengan seruan supaya kolonialisme, pendudukan dan apartheid ditamatkan.