NBA rancang labur sekurang-kurangnya 10 bilion euro untuk arena Eropah

NBA mengumumkan rancangan melabur sekurang-kurangnya 10 bilion euro bagi membangunkan dan menaik taraf arena bola keranjang di seluruh Eropah. Inisiatif itu sebahagian daripada usaha NBA dan Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (Fiba) untuk melancarkan sistem bola keranjang profesional baharu di Eropah pada 2027.
Bagi menjayakan rancangan itu, NBA telah mengumpulkan sekumpulan firma pelaburan. Projek berkenaan bukan sahaja memberi tumpuan kepada kemudahan sukan, malah turut menyasarkan pembangunan kawasan hiburan dan kemudahan di sekitar arena.
Kelab yang berpotensi menyertai liga baharu serta kumpulan pemiliknya akan mendapat akses kepada modal dan kepakaran NBA. Bantuan itu merangkumi pembangunan arena moden serta persekitarannya, menurut pengumuman liga berkenaan.
Pesuruhjaya NBA Adam Silver berkata pengalaman liga itu menunjukkan arena bertaraf tinggi dan pembangunan di sekelilingnya mampu mengubah pasukan bola keranjang serta komuniti setempat.
“Ketika kami bersiap untuk melancarkan liga baharu di Eropah bersama Fiba, kami melihat peluang besar untuk membantu kelab membangunkan kemudahan yang mengekalkan tradisi unik bola keranjang Eropah, di samping meningkatkan pengalaman peminat dan menarik lebih banyak acara secara langsung,” katanya.
Menurut kenyataan NBA, pembangunan kawasan sekitar arena boleh merangkumi perumahan, tempat kerja, restoran, peruncitan dan ruang awam. Kemudahan itu dirancang supaya kawasan berkenaan menjadi destinasi yang dikunjungi sepanjang tahun, bukan hanya ketika perlawanan berlangsung.
Dalam kenyataan bersama, para pelabur menyatakan keterujaan untuk bekerjasama dengan NBA bagi menyokong fasa pembangunan infrastruktur di Eropah. Mereka berkata kerjasama itu berpotensi membawa pelaburan berbilion euro untuk membina venue bertaraf dunia di bandar-bandar Eropah, sambil menghormati minat dan tradisi peminat serta menyokong pertumbuhan ekonomi komuniti.
Pengumuman itu turut memetik kajian The Sports Consultancy yang mendakwa liga NBA dan Fiba berpotensi menyumbang lebih 24 bilion euro dalam nilai tambah kasar kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Eropah. Kajian itu juga menganggarkan liga tersebut boleh menyokong hampir 15,000 pekerjaan setara sepenuh masa setiap tahun dan menarik hampir 70 juta penonton dalam tempoh 10 tahun pertama.