ICJ putuskan Myanmar lakukan genosid terhadap Rohingya, arah balik pulih hak mangsa

Sumber: Astro Awani
ICJ putuskan Myanmar lakukan genosid terhadap Rohingya, arah balik pulih hak mangsa
Gambar: Astro Awani

Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) memutuskan pada Khamis bahawa Myanmar melakukan genosid terhadap etnik Rohingya beragama Islam pada 2017, menandakan kewujudan pertuduhan genosid terhadap sebuah negara buat pertama kali dalam sejarah mahkamah itu. Keputusan ini dibuat selepas undian 9-6 oleh panel hakim.

Dalam penghakiman yang dibacakan, Presiden ICJ, Hakim Yuji Iwasawa, menyatakan bahawa Myanmar “telah melakukan genosid terhadap kumpulan etnik Rohingya di utara Negeri Rakhine, sekali gus melanggar kewajipannya di bawah Konvensyen Mengenai Pencegahan dan Hukuman Jenayah Genosid.” Mahkamah juga mendapati pasukan keselamatan Myanmar bertindak dengan niat untuk memusnahkan sebahagian besar populasi Rohingya di Myanmar.

Keputusan undian berasingan 9-6 turut menyatakan bahawa Myanmar melanggar kewajipannya mencegah genosid yang dilakukan oleh orang awam yang bertindak bersama-sama pasukan keselamatannya. Selain itu, mahkamah turut mendapati Myanmar gagal memenuhi kewajipannya untuk menghukum pelaku genosid, tambahnya dalam dokumen penghakiman.

ICJ mengarahkan Myanmar mengambil langkah segera dan berkesan bagi menyiasat individu yang disyaki melakukan jenayah itu serta memudah cara kepulangan yang selamat, secara sukarela dan bermaruah bagi etnik Rohingya yang kehilangan tempat tinggal. Negara berkenaan juga diperintahkan memulangkan atau menggantikan harta benda etnik Rohingya yang hilang atau rosak serta menyediakan pemulihan fizikal dan psikologi kepada mereka yang cedera.

Menurut dokumen penghakiman, mahkamah turut mewajibkan Myanmar membayar pampasan kepada mangsa bagi kerugian yang tidak dapat dipulihkan melalui pemulangan harta benda atau pemulihan keadaan asal. Tempoh dua tahun diberikan kepada Myanmar untuk melaporkan langkah pemulihan yang telah diambil, manakala butiran lanjut mengenai pembayaran pampasan akan ditentukan dalam prosiding susulan.