Kerja tambak tanah di tapak pembuangan sisa binaan dari Singapura diarah henti serta merta

Sumber: Harian Metro
Kerja tambak tanah di tapak pembuangan sisa binaan dari Singapura diarah henti serta merta
Gambar: Harian Metro

Pontian: Kerajaan negeri mengarahkan kerja penambakan tanah di tapak projek di Jalan Kampung Tenggayun, Mukim Rimba Terjun, di sini dihentikan serta merta selepas didapati melanggar lima syarat ditetapkan pihak berkuasa tempatan (PBT). Tapak itu dipercayai bakal menjadi tempat pembuangan sisa binaan daripada Singapura.

Timbalan Pengerusi Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Zaidi Jafar, berkata antara syarat yang tidak dipatuhi pemilik premis adalah gagal mengemukakan Borang B bagi memulakan projek di tapak berkenaan. Katanya, pemilik berkenaan juga didapati melanggar syarat pengurusan trafik selain kesalahan berkaitan pemasangan papan pengharang, papan tanda serta pengurusan bahan buangan. "Pemilik premis hanya mengemukakan Borang B kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Pontian (MPPn) semalam dan proses kelulusan lazimnya mengambil masa antara satu hingga dua minggu. "Justeru, kita mengambil tindakan menghentikan kerja-kerja ini dan pihak PBT akan mengeluarkan senarai kesalahan yang dilakukan," katanya ketika ditemui selepas pemeriksaan di lokasi berkenaan.

Semalam media melaporkan 10 lori yang dikaitkan dengan beberapa syarikat dikesan dalam operasi penguatkuasaan di sebuah tapak penambakan di Rimba Terjun, di sini disyaki melakukan aktiviti penambakan sisa binaan disyaki dari Singapura. Susulan itu, Agensi Alam Sekitar Kebangsaan Singapura (NEA) berhubung dengan pihak berkuasa Malaysia bagi mendapatkan maklumat lanjut berhubung isu berkenaan.

Ogos lalu, dilaporkan kegiatan pembuangan sisa pembinaan dari Singapura dikesan dengan pihak berkuasa negeri Johor dengan lebih lima tapak pembuangan di daerah ini diarah tutup. Beliau berkata, kerja-kerja penambakan di tapak itu dipercayai sudah bermula sejak seminggu lalu hingga menimbulkan kegusaran orang awam berikutan keadaan jalan yang kotor dan kehadiran lori keluar masuk dari tapak berkenaan. Lebih membimbangkan, katanya, bahan berkenaan dipercayai dibawa masuk dari Singapura dan digunakan sebagai bahan untuk pembangunan projek terbabit. "Johor bukan tempat pembuangan sisa bahan binaan atau tapak pelupusan. Kita juga bimbang dari segi keselamatan teknikal kerana penggunaan bahan sedemikian boleh menyebabkan cerucuk tidak berada dalam keadaan stabil. "Pada masa akan datang, ia berpotensi menyebabkan bangunan menjadi senget, retak dan sebagainya," katanya.

Zaidi berkata, pihak PBT akan mengeluarkan notis henti kerja, manakala tindakan lanjut termasuk kompaun atau denda akan diteliti berdasarkan kesalahan dilakukan. Katanya, pihak terbabit juga perlu mengeluarkan sisa bahan binaan yang dilonggokkan di tapak berkenaan sebelum tindakan selanjutnya diputuskan. Sementara itu, Pengarah Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Johor, Zainal Fitri Ahmad, berkata tiada sebarang permit pernah dikeluarkan bagi membenarkan kemasukan sisa pembinaan dari Singapura ke negara ini. Katanya, pihaknya masih menyiasat kemungkinan wujud kebocoran apabila bahan buangan itu dipercayai dibawa masuk menggunakan permit lain. "Kita tidak pernah mengeluarkan permit untuk membawa masuk sisa pembinaan ke Malaysia. Mereka dipercayai menggunakan permit lain bagi membolehkan kemasukan bahan buangan berkenaan. "Kita kini bekerjasama dengan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) dan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) bagi menyiasat perkara berkenaan," katanya.