Keputusan APEC akan tentukan daya tahan dan kemakmuran ekonomi rantau Asia Pasifik, kata Anwar
SHENZHEN - Keputusan yang dihasilkan pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 akan menjadi penentu dan pembentuk kepada daya tahan serta kemakmuran ekonomi rantau ini untuk generasi akan datang, tegas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim. Beliau berkata demikian dalam Kenyataan Negara ketika menghadiri Mesyuarat Pemimpin Ekonomi APEC di sini pada Khamis.
Menurut Anwar yang juga Menteri Kewangan, dunia yang semakin berpecah-belah memerlukan rantau Asia Pasifik membuktikan bahawa kepelbagaian tidak semestinya membawa kepada perpecahan, persaingan tidak semestinya mengorbankan kerjasama dan kemakmuran tidak seharusnya menjadi hak eksklusif segelintir pihak. Malaysia dilaporkan berpandangan bahawa kerjasama serantau juga harus berfungsi sebagai jambatan kepada perkongsian global yang lebih luas, khususnya dengan ekonomi-ekonomi membangun dan negara-negara Selatan Global.
Beliau menegaskan bahawa kesalinghubungan yang lebih erat merentasi rantau akan memperkukuh daya tahan ekonomi dan menyumbang kepada susunan ekonomi global yang lebih seimbang dan saksama. “Komuniti Asia-Pasifik perlu berpandangan jauh dan bersifat inklusif,” tambah beliau. Anwar turut menegaskan bahawa Malaysia tegas memperjuangkan pendekatan yang bersatu dan berteraskan etika dalam tadbir urus digital dan kecerdasan buatan (AI), dengan menekankan keperluan memastikan kemajuan teknologi mampu memperkasakan semua ekonomi, khususnya negara-negara Selatan Global dan bukannya mendedahkan mereka kepada eksploitasi yang berniat jahat.
Perdana Menteri berada di Shenzhen, wilayah Guangdong yang terletak di utara Hong Kong, bagi menghadiri Minggu Pemimpin Ekonomi APEC (AELW) ke-33 yang berakhir pada Khamis. APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota yang bersempadan dengan Lautan Pasifik bermatlamat menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia-Pasifik. Dari segi saiz, rantau itu merangkumi hampir 40 peratus populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih 60 peratus daripada ekonomi global. Malaysia adalah antara 12 anggota pengasas APEC, dengan negara lain termasuk Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand. China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertainya pada 1993, diikuti Chile pada 1994, Peru, Rusia dan Vietnam pada 1998, menjadikan jumlah keahlian penuh sebanyak 21 anggota. - Bernama