Kekosongan jawatan NC UiTM akan diisi segera, proses pemilihan sedang berjalan - Zambry

PUTRAJAYA: Kekosongan jawatan Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM) dijangka diisi dalam masa terdekat memandangkan proses pemilihan calon bagi jawatan itu sedang berjalan, menurut Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Zambry Abd Kadir. Beliau berkata Jawatankuasa Tetap Pemilihan Naib Canselor Universiti Awam yang dipengerusikan Prof Tan Sri Dr Noor Azlan Ghazali sedang melaksanakan prosedur pelantikan, termasuk mengiklankan kekosongan jawatan, memilih calon dan menjalankan sesi temu duga.
“Jadi kita sedang membuat proses yang perlu dilakukan iaitu dengan membuka iklan dan juga proses pemilihan dan temu duga… saya fikir tidak lama lagi kita akan dapat keputusannya. “Jangkaannya biasanya proses tidak akan ambil masa lama. Yang paling mustahak ialah proses itu perlu dilakukan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penutupan Festival Idea Putrajaya 2026 di sini hari ini.
Pada 2 Nov lepas, Prof Datuk Dr Shahrin Sahib @ Sahibuddin menamatkan perkhidmatan sebagai Naib Canselor UiTM ketujuh selepas memegang jawatan itu sejak 2 Nov 2023. Buat masa ini, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) Prof Dr Yamin Yasin menjalankan fungsi Naib Canselor universiti berkenaan.