Kalah teruk dua PRN: Adakah Rafizi bersekongkol dengan BN? - AMK

Sumber: Astro Awani
Kalah teruk dua PRN: Adakah Rafizi bersekongkol dengan BN? - AMK
Gambar: Astro Awani

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Rafizi Ramli perlu menjawab persoalan yang sedang bermain di minda banyak pihak sama ada beliau kini sudah bersekongkol dengan musuh ketatnya dahulu, Barisan Nasional (BN) selepas mengalami kekalahan teruk dalam dua Pilihan Raya Negeri (PRN) yang lalu, menurut Exco Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dzul Hilmi Zainol.

Dzul Hilmi berkata, berdasarkan trend lampau dan corak kegiatan Rafizi selama bersama PKR sebelum ini, pihak yang menyokong atau membantu beliau mengangkat mana-mana isu telah mengadakan rundingan sulit sebelum bertindak sedemikian. “Jadi, kami tidak dapat untuk menolak sebulat-bulatnya jika berdasarkan trend lampau ini untuk mempercayai Rafizi telah bersekongkol secara sulit dengan BN dengan tujuan utama untuk memberi gambaran imej negatif kepada PKR, terutama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya dalam satu kenyataan hari ini. Lebih-lebih lagi selepas Rafizi berdepan dua kekalahan dalam PRN yang sangat memalukan dengan bukan sahaja calon-calon parti Kancil tajaan beliau hilang deposit malah turut gagal mencapai sasaran undi popular.

Dua hari selepas BN dan Perikatan Nasional (PN) meraih majoriti lebih dua pertiga pada PRN Melaka, sekumpulan Ahli Parlimen BN menggesa kerajaan Perdana Menteri menjawab di Dewan Rakyat berhubung tujuh isu yang dibangkitkan Rafizi. Antaranya dakwaan pembayaran RM9.5 juta kepada Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, yang juga Naib Presiden PKR yang sudah dinafikan Ramanan sendiri. Gesaan itu dibuat ketika BN masih menjadi rakan Pakatan Harapan (PH) dalam kerajaan persekutuan, selepas bekerjasama dengan PN pada pilihan raya negeri itu.

Mengulas lanjut, Dzul Hilmi menjelaskan, demi mencapai matlamatnya, Rafizi sanggup untuk berbuat apa sahaja termasuk mengamalkan politik balas dendam dan kebencian, fitnah dan adu-domba seperti mana yang beliau sering amalkan sebelum PRU15. “Bagi Rafizi, matlamat menghalalkan cara dan beliau dikenali sebagai sosok yang sanggup berbuat apa sahaja untuk menjatuhkan PH demi dendamnya selepas kalah pada pemilihan PKR sebelum ini,” tegasnya.