Kembalinya Huang ke Nvidia pulihkan nilai saham, cetus persoalan politik
Jensen Huang kembali menerajui Nvidia pada Isnin, kurang dua minggu selepas berundur daripada jawatan ketua eksekutif susulan dakwaan hubungan sulit dan kemungkinan kaitan dengan penjualan cip kepada China. Keputusan lembaga pengarah itu mencetuskan lonjakan saham syarikat semikonduktor paling bernilai di dunia serta menimbulkan persoalan mengenai pengaruh pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump.
Huang, 63, disambut dengan tepukan oleh kakitangan selepas kembali ke pejabat. Perubahan itu berlaku selepas sekumpulan tokoh Silicon Valley melobi Rumah Putih, dan Trump mendesak lembaga Nvidia supaya mengembalikannya. Lembaga itu sebelum ini berkata Huang tidak akan dilantik semula.
Kisah di Nvidia menarik perhatian jauh melangkaui syarikat yang berpangkalan di California itu. Lebih 60 peratus nilai Nasdaq-100 tertumpu pada sekumpulan kecil syarikat teknologi besar, manakala firma berkaitan teknologi dan kecerdasan buatan (AI) merangkumi kira-kira separuh nilai pasaran S&P 500.
Nvidia membekalkan perkakasan yang menjadi asas kepada industri pengkomputeran AI. Pelanggannya termasuk Microsoft, Google, Amazon dan Meta, yang menggunakan cip syarikat itu untuk membina serta mengendalikan pusat data AI.
Saham Nvidia merosot hampir 28 peratus antara 11 November, ketika lembaga menerima peletakan jawatan Huang, dengan 20 November. Penurunan itu berlaku ketika ketidakpastian mengenai kepimpinan syarikat meningkat.
Menjelang penutupan dagangan pada Isnin, 23 November, Nvidia memperoleh semula kira-kira AS$956 bilion nilai pasaran. Nilainya meningkat daripada paras terendah AS$3.04 trilion pada 20 November kepada AS$3.98 trilion, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai syarikat semikonduktor paling bernilai di dunia.
Pemulihan saham itu turut memberi kesan kepada syarikat dalam rantaian bekalan Nvidia. Pelabur berharap kepulangan Huang membawa kesinambungan kepada pelan produk, pesanan pembuatan dan rancangan pelaburan.
Taiwan Semiconductor Manufacturing Company (TSMC), yang mengeluarkan pemproses AI canggih Nvidia, menyaksikan sahamnya melonjak 9.9 peratus pada Selasa. Kenaikan itu mencapai had dagangan harian syarikat dan menambah AS$158 bilion kepada nilai pasarannya dalam satu sesi.
Saham Foxconn, yang memasang pelayan AI menggunakan cip Nvidia, turut naik hampir 10 peratus. Pengeluar cip memori Korea Selatan, SK Hynix dan Samsung Electronics, masing-masing mencatat kenaikan 6.7 peratus dan 6.6 peratus. Saham Advantest, pengeluar peralatan ujian cip Jepun, pula melonjak 12.5 peratus.
Indeks saham utama di Seoul, Tokyo dan Taipei turut meningkat pada Selasa. Kenaikan itu menunjukkan betapa luasnya kesan perubahan kepimpinan Nvidia terhadap syarikat teknologi dan pasaran di Asia.
Trump juga antara pemegang saham Nvidia. Semakan terhadap pendedahan kewangan beliau, yang dilaporkan terlebih dahulu oleh The Washington Post, mendapati beliau memiliki saham Nvidia bernilai antara AS$13 juta hingga AS$62 juta pada akhir Ogos. Jumlah itu meningkat daripada kira-kira AS$1.3 juta pada akhir 2024.
Huang sebelum ini mengetuai Nvidia selama hampir 33 tahun. Perjalanan kerjayanya daripada membasuh pinggan di restoran Denny’s pada 1980-an kepada membina sebuah gergasi teknologi bernilai AS$4 trilion menjadikannya antara tokoh usahawan paling menonjol di Silicon Valley.
Beliau kini dilihat sebaris dengan pemimpin syarikat teknologi yang dianggap terlalu besar untuk dipecat, termasuk Mark Zuckerberg dari Meta dan Elon Musk dari SpaceX. Bekas ketua eksekutif Goldman Sachs, Lloyd Blankfein, menyindir kepulangan Huang di X: “Guess you can come back from the graveyard if you’re really, really, really indispensable.”
Dakwaan mengenai hubungan Huang dengan Alice Huang, seorang ahli perniagaan yang disyaki mempunyai hubungan dengan perisikan China, menimbulkan kebimbangan bahawa teknologi cip terhad mungkin terdedah kepada Beijing. Alice Huang ialah eksekutif dan pemegang saham pengawal Megaspeed, syarikat pelanggan Nvidia yang kemudian disenaraihitamkan AS.
Laporan media sepanjang 11 hari Huang tidak berada di pejabat turut memperincikan sekurang-kurangnya dua lagi hubungan sulit dengan kakitangan Nvidia, selain dakwaan bahawa beliau memarahi orang bawahan secara keterlaluan. Seorang kakitangan Nvidia menulis di platform dalaman, menurut Wired: “If Jensen comes back, I’m not doing any HR trainings ever again.”
Trump berkata beliau turut terlibat dalam isu itu selepas pulang daripada lawatan ke China, tempat beliau menghadiri sidang kemuncak APEC dan bertemu Presiden China, Xi Jinping. Dalam wawancara dengan CNBC, Trump berkata: “So I guess I’m involved also.”
Beliau turut berkata: “Every time you have a Chinese woman that’s good-looking or beautiful, they say she’s a spy.” Namun, Trump menambah, “I don’t believe that’s true,” merujuk kepada Huang. Beliau tidak mengulas laporan risikan AS yang diterimanya.
Kepulangan Huang juga menghidupkan semula perdebatan mengenai sekatan eksport cip ke China. Selama bertahun-tahun, beliau melobi di Washington menentang sekatan teknologi, dengan hujah bahawa menghentikan jualan akan menyerahkan pasaran strategik kepada pesaing China.
Pendirian itu bertentangan dengan pandangan anggota Kongres AS yang menganggap akses kepada cip canggih Nvidia sebagai risiko keselamatan negara, khususnya kerana cip berkenaan berpotensi digunakan bagi tujuan ketenteraan. AS mula mengenakan kawalan eksport cip pada 2022 dan kemudian mengetatkan akses China.
Selepas sidang kemuncak dengan Xi tahun lalu, Trump berkata beliau akan membenarkan penjualan cip H200 kepada pelanggan China yang diluluskan. Pada Januari, AS melonggarkan dasar pelesenan bagi H200 berkuasa tinggi dengan membenarkan permohonan eksport dinilai secara individu, tertakluk kepada syarat keselamatan.
Walaupun sekatan dilaksanakan, laporan media menyatakan teknologi Nvidia masih memasuki China, kebanyakannya melalui negara ketiga dan penyeludupan. Sejak skandal Huang terbongkar, Nvidia berkata syarikat itu menghentikan penghantaran cip berkuasa tinggi ke China, tetapi tidak menjelaskan sebab keputusan itu.
Pentadbiran Trump pula dilihat berbeza pendirian mengenai Nvidia. Trump menyokong Huang dan segera mengaku bertanggungjawab atas keputusan lembaga untuk mengembalikannya. Namun, Jabatan Kehakiman dan Suruhanjaya Sekuriti dan Bursa (SEC) masih menyiasat syarikat itu.
Setiausaha Perbendaharaan Scott Bessent muncul sebagai antara pengkritik paling lantang. Beliau mempersoalkan sama ada Nvidia memudahkan penjualan cip yang tidak teratur ke China bagi meningkatkan prestasi kewangan syarikat. Dalam wawancara dengan Fox News, Bessent mendakwa syarikat itu melakukan “seemingly illicit sales to goose their revenues and their earnings”.
Bessent juga menggesa Nvidia melantik ketua eksekutif baharu dari luar syarikat. Sementara itu, Setiausaha Perdagangan Howard Lutnick berdepan dakwaan melengahkan sekatan penjualan cip Nvidia ke China. Dakwaan itu menimbulkan persoalan sama ada keputusannya dipengaruhi kepentingan kewangan bekas firma beliau, Cantor Fitzgerald, yang kini dikawal dua anak lelakinya.
Lembaga Nvidia mempunyai 11 pengarah, termasuk Huang. Selepas beliau berundur, pengerusi lembaga Harvey Jones memberitahu pelabur bahawa Huang berundur secara sukarela dan tidak akan dikembalikan, ketika kempen “Stand with Jensen” mendapat sokongan eksekutif Silicon Valley termasuk Musk.
Pada Isnin, lembaga itu mengubah pendirian. Dalam kenyataan, ia berkata: “believes Jensen is the right person to lead Nvidia, and that his reinstatement is in the best interests of our stockholders, employees, partners and customers”.
Shiva Rajgopal, profesor Kester and Byrnes serta pengerusi Bahagian Perakaunan di Columbia Business School, memberitahu Al Jazeera keputusan itu dibuat sebelum siasatan terhadap Megaspeed dan hubungannya dengan Huang selesai.
“Ini perkembangan luar biasa, dan tanggungjawab terletak pada lembaga Nvidia, bukan Washington. Lembaga itu mengembalikan ketua eksekutifnya sebelum siasatan terhadap Megaspeed dan kaitannya dengannya selesai,” katanya.
Menurut Rajgopal, pengajaran kepada industri cip ialah keperluan mengenali pelanggan kini menjadi isu di peringkat lembaga. Sebahagian besar risiko, katanya, berada pada perantara, khususnya penyedia awan dan penjual semula di tempat seperti Singapura, Malaysia dan Thailand.
Ketidaktentuan di Nvidia pada mulanya memberi peluang kepada pesaing seperti AMD dan Broadcom. Saham kedua-dua syarikat naik hampir 6 peratus pada 12 November, hari Huang mengumumkan pemergiannya. AMD bersaing secara langsung dalam pemproses AI melalui rangkaian pemecut Instinct, manakala Broadcom mereka cip AI tersuai dan teknologi rangkaian untuk syarikat awan utama.
Selepas Huang kembali, saham AMD meningkat kira-kira 7 peratus dan Broadcom sekitar 2 peratus, berbanding lonjakan Nvidia sebanyak 31.5 peratus. Alphabet, yang membangunkan unit pemprosesan Tensor sendiri, turut berpotensi mendapat manfaat sekiranya Google dan Amazon mahu mengurangkan kebergantungan kepada Nvidia.
Setiausaha Negara merangkap penasihat keselamatan negara Trump, Marco Rubio, pula dilihat sebagai antara pihak yang rugi dari segi politik. Rubio dikenali sebagai tokoh yang berpendirian keras terhadap China. The Washington Post sebelum ini melaporkan beliau memulakan rangkaian peristiwa yang akhirnya membawa kepada Huang meninggalkan lembaga Nvidia.
Pada Isnin, Rubio diasak dengan soalan mengenai kepulangan Huang ketika tampil bersama Perdana Menteri Qatar, Sheikh Mohammed bin Abdulrahman bin Jassim Al Thani, di Jabatan Negara. Beliau tidak menjawab soalan yang diajukan.
Bagaimanapun, Washington menambah Megaspeed ke dalam senarai hitam perdagangan pada Isnin, beberapa jam selepas Huang kembali ke Nvidia. Biro Industri dan Keselamatan (BIS) turut menyenaraikan syarikat yang berpangkalan di Singapura itu bersama enam firma lain di Asia Tenggara dalam Entity List.
Dalam pemfailan kepada Federal Register, BIS, yang bernaung di bawah Jabatan Perdagangan AS, menyatakan Megaspeed dan entiti lain itu didapati “bertindak bertentangan dengan kepentingan keselamatan negara atau dasar luar Amerika Syarikat”.