Pilihan raya Guinea-Bissau ditangguh hingga November 2028

Sumber: Al Jazeera

Pemimpin tentera Guinea-Bissau menangguhkan pilihan raya presiden dan parlimen yang dijadualkan pada 6 Disember kepada November 2028. Penangguhan selama dua tahun itu diumumkan melalui dekri yang dikeluarkan pada Khamis oleh Presiden Peralihan, Major-General Horta Inta-a.

Dekri itu menyatakan pilihan raya tidak dapat diadakan kerana “ketidakcukupan keadaan teknikal, material dan kewangan” yang diperlukan. Pengundian berkenaan sepatutnya membuka jalan kepada pemerintahan awam di negara Afrika Barat itu.

Tentera merampas kuasa pada November lalu, sekali gus mengganggu pilihan raya presiden dan menggulingkan penyandang jawatan, Umaro Sissoco Embalo, yang mahu mempertahankan penggalnya. Rampasan kuasa itu membawa bekas ketua turus tentera, Inta-a, menjadi ketua kerajaan tentera dengan tugas mengawasi tempoh peralihan selama setahun.

Bagaimanapun, piagam peralihan yang diterbitkan pada awal Disember melarang Inta-a daripada bertanding dalam pilihan raya. Pada Ogos, pengundi meluluskan pindaan perlembagaan yang memberikan lebih banyak kuasa kepada presiden.

Bulan lalu, Perdana Menteri Ilidio Vieira Te berkata syarat yang diperlukan untuk mengadakan pilihan raya pada Disember belum dipenuhi, namun beliau tidak menetapkan jadual baharu. Komuniti Ekonomi Negara-Negara Afrika Barat (ECOWAS) sebelum ini menyeru supaya peralihan kepada pemerintahan awam dilaksanakan secara singkat, tersusun dan telus.

Guinea-Bissau antara negara termiskin di dunia dan berdepan rampasan kuasa serta percubaan rampasan kuasa sejak mencapai kemerdekaan daripada Portugal lebih 50 tahun lalu. Negara berpenduduk 2.2 juta itu juga dikenali sebagai hab penyeludupan dadah antara Amerika Latin dengan Eropah, yang menurut pakar turut menyumbang kepada krisis politiknya.

Gelombang rampasan kuasa turut melanda Afrika Barat sejak 2020.