Depardieu dibicarakan atas tuduhan merogol pelakon pada 2018
PARIS: Mahkamah Rayuan Paris pada Khamis mengekalkan perintah supaya pelakon Perancis Gerard Depardieu dibicarakan atas tuduhan merogol dan melakukan serangan seksual terhadap pelakon Charlotte Arnould di kediamannya di Paris pada 2018.
Peguam pembelaan Depardieu, Delphine Meillet, memberitahu agensi berita Associated Press bahawa pelakon berusia 77 tahun itu akan menghadapi perbicaraan atas satu pertuduhan rogol. Mahkamah menolak dakwaan berkaitan kejadian kedua yang dikatakan berlaku enam hari selepas insiden pada 7 Ogos 2018.
Arnould menuduh Depardieu merogolnya sebanyak dua kali pada 2018, ketika dia berusia 22 tahun. Depardieu didakwa pada 2020 dan diperintahkan untuk dibicarakan pada 2025, namun menolak dakwaan itu serta mengemukakan rayuan.
“Beliau mempertikaikan keputusan itu,” kata Meillet kepada AP. Peguam itu tidak menyatakan sama ada Depardieu akan mengemukakan rayuan lanjut.
Carine Durrieu Diebolt, peguam Arnould, menyifatkan keputusan mahkamah itu sebagai satu kelegaan buat anak guamnya. “Dia sudah lama menunggu saat ini,” katanya. “Dia benar-benar bersedia untuk menghadapinya.”
Durrieu Diebolt turut berkata perbicaraan itu “dijangka menjadi bersejarah”. Jika sabit kesalahan, Depardieu berdepan hukuman penjara antara 15 hingga 20 tahun.
Depardieu pernah berlakon dalam lebih 200 filem dan siri televisyen, selain menjadi antara tokoh paling terkenal yang terpalit dalam tindak balas Perancis terhadap gerakan #MeToo. Beliau mendominasi dunia perfileman Perancis selama setengah abad dan menjadi antara tokoh budaya negara itu yang paling dikenali di peringkat antarabangsa. Depardieu pernah menerima pencalonan Oscar bagi filem *Cyrano de Bergerac* serta anugerah Golden Globe bagi *Green Card*.
Pelakon itu berdepan beberapa tuduhan dan pertuduhan serangan seksual sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Polis Perancis turut menyiasat dakwaan bahawa Depardieu dan penulis Michel Houellebecq merogol beramai-ramai serta menyerang seorang wanita di hadapan kamera ketika penggambaran filem pada 2018.
Minggu lalu, Depardieu menarik balik rayuannya terhadap hukuman penjara 18 bulan yang digantung atas kesalahan menyerang secara seksual dua wanita ketika penggambaran filem lain pada 2021. Dalam kenyataan bertulis, beliau berkata: “Oleh itu, saya menyampaikan permohonan maaf yang mendalam dan ikhlas kepada mereka yang mungkin telah menderita.”