FAMA pantau bekalan makanan susulan banjir; El Nino diramal beri impak cuaca dan pendapatan nelayan

Sumber: Astro Awani
FAMA pantau bekalan makanan susulan banjir; El Nino diramal beri impak cuaca dan pendapatan nelayan
Gambar: Astro Awani

Putrajaya: Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) terus memantau bekalan makanan susulan banjir yang melanda beberapa kawasan negara, dengan tiada laporan mengenai kenaikan paras air secara mendadak setakat ini. Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata FAMA sentiasa mendapatkan maklumat terkini bagi memastikan tindakan segera dapat diambil sekiranya berlaku perubahan yang boleh menjejaskan bekalan.

Beliau dipetik berkata ketika sidang media pada Forum Keterjaminan Makanan yang diadakan sempena Festival of Ideas, berlangsung selama tiga hari di Putrajaya hari ini. Mohamad menambah bahawa agensi-agensi utama seperti FAMA akan mengambil maklumat dan bertindak dengan segera, dan setakat ini tiada maklumat mengenai kenaikan paras air secara mendadak.

Harga telur dilaporkan menunjukkan sedikit penurunan berbanding kebiasaan, namun kerajaan akan terus memantau perubahan harga dan bekalan sepanjang musim banjir. Beliau turut menyatakan persediaan kerajaan menghadapi keadaan cuaca yang dijangka berlaku, termasuk fenomena El Nino, yang berpotensi memberi kesan kepada sektor pertanian dan perikanan.

Dijangka tahun ini El Nino mungkin menyebabkan suhu mencecah sehingga 40 darjah Celsius dan dijangka berlaku sekitar Disember hingga April. Kerajaan telah memberi taklimat kepada MADA (Lembaga Kemajuan Petanian Muda), KADA (Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu) dan petani untuk menanam sayur supaya bersedia, dan kerajaan akan bertindak jika diperlukan.

Mohamad turut berkata keadaan cuaca panas berpotensi menjejaskan pendapatan nelayan pantai apabila ikan bergerak ke kawasan perairan lebih dalam. Bagaimanapun, stok ikan beku ketika ini mencukupi dan kerajaan akan meningkatkan bekalan sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku gangguan kepada hasil tangkapan. Katanya, stok ikan sejuk beku termasuk import, khususnya dari Sabah kerana ikan di sana dikatakan agak murah.

FOI Putrajaya 2026 yang berlangsung tiga hari bermula 17 November menampilkan 20 pengisian utama merentasi tujuh zon, dengan 16 sesi perbincangan melibatkan 72 tokoh, ahli panel dan pembentang tempatan serta antarabangsa. Festival itu turut disertai delegasi asing dari Filipina, Timor-Leste, Indonesia, Turkiye dan Kazakhstan bagi memperkukuh pertukaran ilmu serta kerjasama serantau.