Tiga pegawai TUDM antara enam didakwa edar 96.2kg dadah

SHAH ALAM: Tiga pegawai Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan tiga orang awam didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini, atas pertuduhan mengedar 96.2 kilogram (kg) methamphetamine menggunakan aset TUDM.
Mereka ialah Leftenan Amir Ariffudin Aminullah, 33; Leftenan Muhammad Arief Fauzan Mohd Ali, 27; Kapten Muhammad Amirul Faisall Rosdin, 34; Tan Sui Seng, 48; Nur Hanis Syafiqah Muhammed Amin, 28; dan Afifah Amdas, 34. Kesemua mereka hanya mengangguk faham selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Wan Noora Nisa Ngadirin.
Tiada pengakuan direkodkan kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi. Mengikut pertuduhan, mereka didakwa secara bersama-sama mengedar dadah itu di Pangkalan TUDM Subang pada 17 November lalu.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Jika sabit kesalahan, mereka boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup serta 15 sebatan.
Kes itu menyusuli penahanan 11 individu, termasuk lima pegawai dan anggota TUDM serta enam orang awam, dalam operasi di Lembah Klang dan Labuan. Mereka disyaki terbabit dalam aktiviti penyeludupan dadah menggunakan aset TUDM pada 17 November lalu.
Dalam operasi berkenaan, polis turut merampas 96.64kg dadah disyaki syabu bernilai RM4.83 juta serta 6.98kg bahan kimia.